Oleh: SM Ismail
Ungkapan penyatuan ummah sering menjadi tema dalam wacana politik negara. Setiap kali berlaku pergolakan politik atau menjelang pilihan raya, seruan agar umat Islam bersatu kembali bergema. Namun persoalan yang perlu direnungkan ialah, apakah yang dimaksudkan dengan penyatuan ummah menurut Islam? Adakah ia bermaksud semua orang Islam wajib berada dalam satu parti politik, atau ia mempunyai pengertian yang lebih luas?
Islam membezakan antara agama (al-thawabit) yang bersifat tetap dengan urusan pentadbiran dan politik (al-mutaghayyirat) yang boleh berubah mengikut masa, tempat dan maslahat. Atas dasar itu, majoriti ulama menjelaskan bahawa siasah (politik) termasuk dalam ruang lingkup muamalat, bukannya ibadah khusus. Dalam bidang muamalat, hukum asal sesuatu perkara ialah harus selagi tidak terdapat dalil yang jelas mengharamkannya.
Ini bermakna kewujudan pelbagai parti politik, kaedah pilihan raya, bentuk kerjasama politik atau pembentukan kerajaan merupakan perkara ijtihadiyyah yang boleh berbeza mengikut keadaan sesebuah negara. Ia bukan rukun iman dan bukan juga rukun Islam.
Firman Allah SWT:
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali Allah dan janganlah kamu bercerai-berai.”
(Surah Ali ’Imran: 103)
Ayat ini tidak memerintahkan umat Islam supaya berpegang kepada parti tertentu, sebaliknya berpegang kepada agama Allah. Oleh itu, penyatuan ummah tidak boleh disempitkan kepada penyatuan parti politik semata-mata.
Sudah tentu Islam mengiktiraf penyertaan dalam politik sebagai satu wasilah untuk menegakkan keadilan, menjaga maslahat rakyat dan memilih kepimpinan yang amanah. Namun, sokongan kepada mana-mana parti politik adalah bersyarat, bukan bersifat mutlak. Kesetiaan seorang Muslim adalah kepada Allah dan Rasul-Nya terlebih dahulu.
Selagi sesebuah parti bergerak dalam ruang yang diharuskan syarak, tidak menentang nas-nas yang qat’ie, tidak menghalalkan perkara yang jelas haram dan tidak meruntuhkan maqasid syariah, maka umat Islam bebas membuat pilihan politik berdasarkan pertimbangan ilmu, amanah, keupayaan serta maslahat umum.
Sebaliknya, jika terdapat dasar atau tindakan yang jelas bercanggah dengan hukum Islam yang muktamad, maka prinsip syarak hendaklah diutamakan. Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan hanyalah pada perkara yang makruf.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menjadi neraca bahawa ketaatan kepada parti, pemimpin atau kerajaan bukanlah tanpa batas.
Dalam masa yang sama, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terjebak dengan pendekatan yang menyerupai Khawarij, iaitu budaya mudah melabel, menyesatkan atau mengkafirkan sesama Muslim hanya kerana perbezaan politik atau ijtihad. Ahli Sunnah wal Jamaah menerima bahawa dalam perkara siyasah yang bersifat ijtihadi, boleh berlaku perbezaan pandangan tanpa menjejaskan akidah dan persaudaraan Islam.
Sejarah menunjukkan bahawa para sahabat Rasulullah SAW sendiri pernah berbeza pandangan dalam urusan pentadbiran dan politik, namun mereka tidak menjadikan perbezaan itu sebagai alasan untuk memutuskan ukhuwah. Mereka tetap bersatu mempertahankan agama dan kepentingan umat.
Malangnya, hari ini ada yang menjadikan parti politik sebagai ukuran iman, seolah-olah menyokong parti tertentu merupakan syarat kesempurnaan agama. Pendekatan seperti ini bukan sahaja tidak mempunyai sandaran yang kukuh dalam syariat, malah berpotensi memecah-belahkan umat.
Hakikatnya, cabaran umat Islam hari ini jauh lebih besar daripada persaingan politik. Isu kemiskinan, pendidikan, ekonomi, rasuah, keruntuhan institusi keluarga, penyalahgunaan dadah, pembangunan belia dan penguasaan ilmu memerlukan kerjasama semua pihak tanpa mengira latar belakang politik.
Inilah roh penyatuan ummah yang sebenar. Berbeza parti tidak bermaksud bermusuhan. Bersaing dalam demokrasi tidak bererti memutuskan silaturahim. Politik hanyalah wasilah, sedangkan matlamatnya ialah menegakkan keadilan, memelihara agama, menjaga kemaslahatan rakyat dan membangunkan negara.
Imam al-Mawardi dalam Al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan bahawa tujuan kepimpinan ialah menjaga agama (hirasat al-din) dan mentadbir urusan dunia (siyasat al-dunya). Ibn Taymiyyah pula menegaskan bahawa segala bentuk pemerintahan hendaklah berpaksikan keadilan kerana keadilan merupakan asas kestabilan sesebuah negara.
Maka, penyatuan ummah di Malaysia tidak seharusnya diukur dengan berapa banyak parti yang bergabung, tetapi sejauh mana umat Islam mampu bersatu mempertahankan akidah, memartabatkan syariah, memperkukuh pendidikan, memajukan ekonomi, membanteras rasuah dan menjadi rahmat kepada seluruh rakyat dalam sebuah negara majmuk.
Penyatuan ummah bukan penyatuan parti semata-mata. Ia adalah penyatuan akidah, akhlak, fikrah dan amal, manakala politik hanyalah salah satu instrumen untuk mencapai maslahat yang lebih besar.