SHAH ALAM, 23 Julai – Kerajaan Selangor memperkenalkan Pelan Mitigasi Banjir Langkah Segera dan Langkah Sederhana bagi kawasan Petaling Jaya yang merangkumi 39 skop kerja dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM40.56 juta.
Inisiatif itu bertujuan mengurangkan risiko banjir kilat, meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta memperkukuh daya tahan kawasan terjejas dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim, berkata pelan tersebut dirangka hasil lawatan kerja dan tinjauan menyeluruh yang dilaksanakan pada Mei lalu bagi mengenal pasti punca serta penyelesaian jangka pendek dan sederhana terhadap isu banjir kilat di Petaling Jaya.
Menurut beliau, sebanyak 12 kawasan hotspot dikenal pasti, dengan tiga lokasi dikategorikan sebagai kawasan kritikal iaitu Seksyen 51A, Kampung Cempaka dan Jalan Kuala Selangor (FT54) yang memerlukan tindakan segera.
Beliau berkata, antara skop kerja yang akan dilaksanakan ialah menaik taraf dan meningkatkan kapasiti sungai, membina struktur outlet baharu, menyelenggara sistem saliran sedia ada, membina kolam takungan banjir serta memasang sistem amaran banjir di lokasi berisiko.
“Bagi menambah baik kawasan tersebut, terdapat tiga projek utama. Pertama, kerja penyelenggaraan kolam on-line serta pembinaan sistem amaran banjir di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melibatkan kos RM300,000.
“Selain itu, kerja penyelenggaraan saliran dalaman oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut diperuntukkan sebanyak RM300,000. Keseluruhan kerja berjumlah RM600,000 ini dijangka siap pada penghujung Januari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini, yang turut dihadiri Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Zahri Samingon.
Izham turut memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersetuju melaksanakan kaedah lantikan terus bagi projek-projek di bawah langkah segera bagi memastikan kerja dapat dimulakan tanpa kelewatan dan disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Beliau berkata, pendekatan sama yang dilaksanakan di beberapa kawasan lain di Selangor sebelum ini telah menunjukkan hasil positif apabila kejadian banjir semakin berkurangan.
Minggu lalu, hujan lebat berserta angin kencang mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan lokasi di sekitar Petaling Jaya dilanda banjir kilat, sekali gus mengukuhkan keperluan pelaksanaan segera pelan mitigasi tersebut.