SHAH ALAM, 24 Julai – Kerajaan Negeri Selangor terus memperhebat usaha memperkukuh sektor pertanian dengan menggalakkan masyarakat memilih serta membeli hasil pengeluaran tempatan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim, berkata langkah itu mampu meningkatkan permintaan terhadap buah-buahan tempatan, sekali gus menambah pendapatan petani dan memperluaskan pasaran bagi hasil usahawan tani tempatan.
“Galakan ini bukan sahaja kerana buah-buahan tempatan berkhasiat dan segar, malah dapat mengurangkan kebergantungan kepada import. Ketika ini, nilai import buah-buahan negara mencecah RM7.5 bilion,” katanya.
Beliau berkata, antara langkah yang boleh dilaksanakan ialah mengutamakan penggunaan buah-buahan tempatan, termasuk menggantikan bakul buah dengan hasil keluaran petani tempatan sebagai sokongan kepada industri pertanian negara.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buah-Buahan Selangor 2026 di sini hari ini.
Mengulas mengenai cuaca panas dan risiko fenomena El Nino, beliau berkata kerajaan negeri turut memantau paras air sungai dan empangan bagi memastikan bekalan air untuk sektor pertanian kekal mencukupi.
Pesta tahunan itu berlangsung selama tiga hari hingga 26 Julai, dengan sasaran nilai jualan sebanyak RM250,000 menerusi penyertaan usahawan tempatan.