SEREMBAN, 28 Julai – Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi menyifatkan tindakan Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menyerang peribadi pemimpin lawan ketika berkempen sebagai satu sikap biadab yang tidak mencerminkan nilai masyarakat Melayu dan Islam.
Menurut beliau, kempen pilihan raya sepatutnya menjadi medan untuk menawarkan dasar, idea serta perancangan pembangunan kepada rakyat, bukannya dijadikan pentas menyerang peribadi atau memainkan isu sensitif yang boleh memecah-belahkan masyarakat.
“Sepatutnya kempen pilihan raya bercerita tentang apa yang hendak dibuat untuk Negeri Sembilan, apakah kemajuan yang mahu dibawa kepada rakyat dan pengundi di negeri ini.
“Sebaliknya, Sanusi lebih gemar menyerang peribadi serta membawa isu-isu sensitif melibatkan kaum dan agama. Menyebut nama ayah seseorang pemimpin sebagai bahan serangan adalah satu tindakan yang sangat kurang ajar,” katanya.
Abbas berkata, kepimpinan PAS perlu mempertimbangkan untuk merehatkan Sanusi kerana tindakannya bukan sahaja mencemarkan imej parti itu, malah memberi gambaran buruk terhadap imej Melayu dan Islam.
“Tidak ada orang Melayu yang berakhlak mengamalkan sikap kurang ajar dan biadab seperti ini. Apa yang dilakukan Sanusi hanya merosakkan imej PAS dan nama Melayu Islam sendiri,” katanya.
Beliau turut mengaitkan kenyataan-kenyataan terdahulu Sanusi yang didakwa menyentuh isu perkauman sebelum ini, selain menggelarkan Presiden Parti AMANAH Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu, dengan panggilan yang disifatkannya sebagai tidak beradab.
Dalam masa sama, Abbas berkata pendekatan yang diambil Pakatan Harapan sepanjang kempen adalah lebih berhemah kerana tidak menyerang peribadi lawan.
“Alhamdulillah, Pakatan Harapan tidak menggunakan pendekatan menyerang peribadi secara keterlaluan. Kita tidak kurang ajar dan tidak biadab seperti yang dilakukan Sanusi,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Negeri Sembilan wajar menilai sendiri akhlak dan keperibadian pemimpin yang berkempen sebelum membuat keputusan pada hari pengundian.
“Kalau beginilah perangai pemimpin yang hendak diangkat mentadbir negeri, saya percaya Negeri Sembilan tidak akan maju.
“Lihat sendiri kepimpinan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun yang berkempen dengan tenang, berakhlak dan tidak menyerang peribadi lawan. Sebab itu saya yakin Pakatan Harapan akan terus menjadi pilihan utama pengundi Negeri Sembilan pada pilihan raya kali ini, insya-Allah,” katanya.