KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2026 – Sebanyak 200 pengunjung terawal yang hadir ke Karnival Merdeka Komuniti Wangsa Maju 2026 esok berpeluang menerima kupon bernilai RM10 untuk digunakan bagi pembelian barangan menerusi Jualan RAHMAH dan Jualan AGRO MADANI.
Program yang akan berlangsung pada 30 Ogos 2026 (Ahad) itu dijadualkan di Perkarangan Parking Blok A, Flat Danau Kota, Wangsa Maju, sekali gus menjadi antara program komuniti bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan.
Kupon RM10 tersebut merupakan sumbangan daripada Faris Arriffin, Ketua Angkatan Muda Harapan Wilayah Persekutuan dan Ketua Pemuda AMANAH Wilayah Persekutuan, sebagai usaha membantu meringankan perbelanjaan penduduk setempat selain menggalakkan komuniti mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.
Pengunjung yang hadir berpeluang mendapatkan manfaat daripada Jualan RAHMAH dan Jualan AGRO MADANI, di samping menyertai suasana sambutan Merdeka bersama keluarga dan jiran tetangga.
Pihak penganjur turut menggalakkan penduduk Wangsa Maju hadir lebih awal kerana pemberian kupon tersebut adalah terhad kepada 200 pengunjung terawal sahaja dan akan diberikan berdasarkan prinsip “siapa cepat, dia dapat”.
Karnival ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyemarakkan semangat patriotisme sempena sambutan Merdeka, malah memberi ruang kepada masyarakat setempat menikmati kemudahan serta inisiatif yang dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup.
Orang ramai khususnya penduduk Wangsa Maju dijemput hadir bersama keluarga bagi memeriahkan Karnival Merdeka Komuniti Wangsa Maju 2026 sambil mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan.