ALOR SETAR, 27 Ogos — Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, mencabar PAS memasukkan komitmen menghapuskan perjudian berlesen di seluruh Malaysia dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sekiranya benar-benar serius menolak kegiatan perjudian.
Beliau berkata langkah itu merupakan cara paling mudah untuk membuktikan keikhlasan PAS dalam memperjuangkan isu berkenaan, bukannya sekadar menjadikannya bahan ceramah politik.
“PAS, masukkan dalam manifesto PRU akan datang: jika PAS-PN membentuk Kerajaan Persekutuan bersama UMNO-BN, PAS akan menghapuskan perjudian berlesen di seluruh Malaysia.
“Nyatakan dasar dan mekanisme. Biar rakyat mengundi berdasarkan janji yang jelas, bukan ceramah yang berapi-api.
“Kalau berani menjerit ‘hapuskan judi’, beranilah menulisnya dalam manifesto,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mahfuz berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang didakwanya mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan isu perjudian di Kedah selain menggunakan bahasa menghina terhadap Perdana Menteri.
Menurutnya, perbezaan pendirian mengenai perjudian boleh dibahaskan secara terbuka, namun perbezaan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengabaikan adab dan akhlak.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan bukan keputusan peribadi Anwar Ibrahim. Mahkamah bukan Anwar. Hakim bukan Anwar. Perlembagaan bukan Anwar.
“Kalah di mahkamah bukan bermakna PMX yang salah dan keputusan mahkamah bukan lesen untuk memaki Perdana Menteri,” katanya.
Mahfuz turut menegaskan bahawa isu tersebut perlu dilihat dari sudut bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan, bukannya digambarkan seolah-olah Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan perjudian di Kedah.
Beliau berkata sekiranya hujah undang-undang kerajaan negeri kukuh, hujah berkenaan perlu dikemukakan berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan, bukannya digantikan dengan serangan politik.
“Kalau hujah undang-undang kuat, bentangkan hujah undang-undang. Jangan apabila hujah semakin lemah, suara pula semakin kuat,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz mengingatkan Sanusi supaya tidak menggunakan nama seluruh rakyat Kedah sebagai perisai bagi mempertahankan kenyataan atau pendirian politiknya.
Katanya, rakyat Kedah mempunyai pertimbangan dan pendirian masing-masing serta tidak wajar dianggap bersetuju dengan bahasa makian atau doa keburukan terhadap mana-mana pemimpin.
Beliau turut mempersoalkan aspek akhlak dalam penggunaan bahasa tersebut dengan menegaskan bahawa penolakan terhadap perjudian boleh menjadi pendirian agama, namun perjuangan agama tidak seharusnya disertai penghinaan terhadap individu.
“Kita boleh menentang maksiat tanpa memaki manusia. Kita boleh berbeza tanpa menghina. Kita boleh tegas tanpa menjadi kasar.
“Jangan terlalu sibuk mencari dosa perjudian sehingga lupa menjaga dosa lidah sendiri,” katanya.
Mahfuz berkata Sanusi perlu lebih berhati-hati kerana beliau bukan bercakap sebagai individu biasa, sebaliknya sebagai Menteri Besar yang setiap perkataannya membawa imej kerajaan negeri Kedah.
Beliau turut mengingatkan bahawa PAS pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, namun perjudian berlesen tidak dihapuskan di seluruh negara ketika parti itu berada dalam kerajaan.
Sehubungan itu, Mahfuz meminta PAS menjelaskan pendirian dan dasar sebenar parti berhubung penghapusan perjudian sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan Persekutuan selepas PRU16.
“Jangan hanya menjadi juara anti-judi apabila berada di luar Putrajaya,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa kritikannya bukan bertujuan mempertahankan perjudian, sebaliknya mempertahankan prinsip kebenaran, Perlembagaan, kewarasan politik dan akhlak dalam kepimpinan.
“Kalau PAS benar-benar mahu menghapuskan perjudian, jangan sekadar berucap di Kedah. Tulis dalam manifesto bahawa PAS-PN bersama UMNO-BN akan menghapuskannya di seluruh Malaysia jika diberi mandat membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Kalau berani, tulis. Kalau yakin, janji. Kalau benar-benar ikhlas, laksanakan,” katanya.
Mahfuz berkata perjuangan agama sepatutnya melahirkan akhlak yang lebih tinggi, bukannya bahasa yang semakin tajam dalam menghina pihak lawan.
Menurutnya, rakyat tidak memerlukan pemimpin yang paling kuat memaki, sebaliknya pemimpin yang mampu berhujah dengan jelas, menawarkan dasar yang nyata dan menunjukkan akhlak yang baik.
Beliau turut mengingatkan supaya kekalahan dalam pertikaian undang-undang tidak ditukar menjadi kemenangan propaganda politik dengan meletakkan kesalahan kepada Perdana Menteri.
“Dalam negara demokrasi dan berperlembagaan, kerajaan negeri juga tertakluk kepada Perlembagaan dan undang-undang.
“Jangan selepas kalah dalam pertikaian kuasa, cerita itu ditukar menjadi ‘PMX mahu bawa judi ke Kedah’. Itu bukan hujah undang-undang. Itu propaganda politik,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, Mahfuz menggesa kepimpinan PAS menunjukkan konsistensi dalam pendirian mengenai perjudian sama ada ketika berkuasa mahupun ketika menjadi pembangkang.
“Rakyat Kedah perlu mendapat kepimpinan yang tegas tanpa biadab, beragama tanpa taksub, dan berpolitik tanpa kehilangan akhlak,” katanya.