Musyawarah Nasional dikhuatiri jadi platform politik, timbulkan keraguan terhadap penemuan suruhanjaya
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mujahid Yusof Rawa, bimbang Musyawarah Nasional dijadikan platform politik untuk memperkecilkan penemuan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.
Mujahid berkata, beliau tidak mempersoalkan hak mana-mana pihak untuk menganjurkan perhimpunan atau musyawarah, namun membangkitkan kebimbangan apabila pandangan bekas penjawat awam kanan seperti Tan Sri Irwan dan Tan Sri Madinah digunakan dalam platform berkenaan untuk mempersoalkan kewibawaan RCI.
Menurutnya, kenyataan yang seolah-olah menggambarkan Tabung Haji masih berada dalam keadaan baik dan tiada masalah boleh menimbulkan persepsi bahawa penemuan RCI, termasuk berkaitan krisis kewangan, cuba dipertikaikan.
“Resepsi yang cuba dibawa adalah untuk memperkecilkan RCI dan menimbulkan keraguan. Mereka menjadikannya sebagai satu modal politik.”
Mujahid berkata, RCI mempunyai mandat yang jelas dan penemuannya tidak seharusnya dipandang ringan hanya kerana wujud pihak yang tidak bersetuju dengan beberapa aspek prosiding atau keputusan suruhanjaya itu.
ISU TAN SRI MADINAH TIDAK JEJASKAN RCI
Mengulas persoalan Tan Sri Madinah yang dikatakan tidak dipanggil memberikan keterangan secara fizikal di hadapan prosiding RCI, Mujahid menjelaskan bahawa bekas Ketua Audit Negara itu merupakan antara individu yang telah memberikan maklumat melalui akuan berkanun sumpah.
Katanya, maklumat serta dokumen yang diperlukan telah diberikan kepada RCI dan tidak semestinya seseorang yang membuat akuan berkanun perlu dipanggil secara fizikal untuk memberikan keterangan.
“Itu adalah hak RCI untuk memanggil sesiapa yang dikehendakinya. Tan Sri Madinah juga mungkin mempunyai hak untuk menimbulkan persoalan itu, tetapi ia sekali-kali tidak menjejaskan penemuan yang telah ada dalam RCI,” katanya.
BIMBANG JADI MODAL POLITIK
Mujahid turut mendakwa terdapat cubaan membentuk persepsi bahawa penemuan RCI perlu diragui, selain dikaitkan dengan isu agama dan perkauman.
Beliau berkata, perkara itu amat membimbangkan sekiranya ia dijadikan modal politik oleh pihak tertentu.
“Yang paling kita bimbang ialah mereka menggunakan isu perkauman dan agama untuk menjadikannya sebagai satu modal politik.”
Beliau turut mempersoalkan seruan supaya isu Tabung Haji tidak dipolitikkan, sedangkan menurutnya, Pakatan Harapan dan dirinya sendiri pernah menjadi sasaran serangan politik berhubung pengurusan aset Tabung Haji ketika kerajaan terdahulu.
“Kalau mereka kata jangan politikkan isu Tabung Haji, sebelum ini ketika mereka jadi kerajaan, mereka bantai kita cukup-cukup. Mereka kata saya jual aset kepada Cina, saya gadai aset. Itu adalah politik,” katanya.
“RCI TETAP PERLU DIHORMATI”
Mujahid menegaskan, sebarang persoalan terhadap RCI boleh dibangkitkan, namun ia tidak seharusnya digunakan untuk merendahkan atau menafikan keseluruhan penemuan suruhanjaya tersebut.
Katanya, lebih malang apabila tokoh-tokoh bekas penjawat awam kanan dilihat berada dalam platform yang menurutnya boleh digunakan untuk mempersoalkan kredibiliti RCI.
“Musyawarah Nasional ini bagi saya adalah satu lagi platform politik untuk mereka mempertikaikan dan merendah-rendahkan penemuan RCI,” katanya.
Beliau pada masa sama menegaskan bahawa RCI perlu terus dihormati sebagai sebuah mekanisme siasatan yang menjalankan tugas berdasarkan mandat yang diberikan.
“Malang sekali untuk RCI apabila diperlakukan sedemikian rupa. Namun RCI tetap satu proses yang penemuannya telah dibuat secara profesional dan diperakui,” katanya.