KUALA LUMPUR: Perdebatan mengenai istilah teknikal seperti RAV atau MFRS, status insolvensi serta audit bersih dengan Emphasis of Matter tidak seharusnya mengalihkan perhatian rakyat daripada persoalan utama berhubung pengurusan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH).
Persoalan yang lebih asas ialah bagaimana tujuh daripada 14 pelaburan Tabung Haji yang dikenal pasti boleh dihapus kira 100 peratus, membabitkan nilai keseluruhan RM2.581 bilion.
Menurut Faris Arriffin, jumlah itu bukan sekadar angka dalam laporan kewangan, sebaliknya melibatkan amanah pendeposit termasuk guru, pesara, petani, peniaga kecil dan penjawat awam yang menyimpan wang mereka dengan kepercayaan bahawa Tabung Haji ialah sebuah institusi berkepentingan awam.
“Jika semuanya baik-baik sahaja, bagaimana tujuh daripada 14 pelaburan Tabung Haji boleh dihapus kira 100 peratus, berjumlah RM2.581 bilion?” katanya.
Tujuh pelaburan yang dilaporkan dihapus kira sepenuhnya ialah Al-Rawda Real Estates Development & Project Management Co Ltd berjumlah RM1.864 bilion, Trurich Resources Sdn Bhd (RM364.31 juta), Putrajaya Perdana Bhd (RM193.49 juta), Alfareeda Residential Fund (RM82 juta), Abraj Sdn Bhd (RM40.23 juta), Emrail Sdn Bhd (RM19.30 juta) dan Wellspring Worldwide Ltd (RM18 juta).
Dalam masa sama, tujuh lagi pelaburan turut dikenal pasti untuk audit forensik, iaitu PT TH Indo Plantations, Deru Semangat Sdn Bhd, TH Plantations Bhd, TH Properties Sdn Bhd, Alam Maritim Resources Bhd/TH Marine, TH Hotel & Residences Sdn Bhd serta FGV Bhd.
Faris berkata, tiga kes terbesar iaitu Al-Rawda, Trurich dan Putrajaya Perdana sahaja menyumbang kira-kira RM2.42 bilion, bersamaan hampir 94 peratus daripada jumlah kerugian penuh tujuh pelaburan yang dihapus kira tersebut.
Beliau berkata, RCI turut merekodkan bahawa 14 pelaburan berkenaan melibatkan kerugian dan kesan kewangan sekitar RM13 bilion, walaupun tidak kesemuanya dihapus kira 100 peratus.
“Kesemuanya cukup serius untuk menuntut audit forensik yang bebas, telus dan menyeluruh,” katanya.
Menurut beliau, hujah bahawa Tabung Haji masih berkemampuan membayar hutang atau bahawa audit dilaksanakan mengikut prosedur tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menutup persoalan mengenai bagaimana kerugian besar itu berlaku.
Faris menyifatkan usaha mengalihkan perhatian kepada perbezaan metodologi sebagai red herring fallacy, iaitu percubaan mengalih perhatian daripada isu pokok yang sepatutnya dijawab.
“Perdebatan mengenai metodologi tidak dapat mengembalikan RM2.581 bilion yang telah hangus menjadi sifar.
“Istilah teknikal tidak dapat menghidupkan semula pelaburan yang telah dihapus kira sepenuhnya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Laporan Audit dengan Emphasis of Matter oleh Jabatan Audit Negara wajar dijadikan alasan untuk mengelakkan persoalan mengenai akauntabiliti.
Antara persoalan yang perlu dijawab, katanya, termasuk bilakah tanda-tanda kerugian diketahui, siapa yang meluluskan transaksi, siapa yang menilai risiko, siapa yang gagal bertindak dan mengapa pendeposit hanya diminta percaya selepas kerugian berlaku.
“RCI Tabung Haji penting bukan kerana kita mahu menjatuhkan hukuman melalui media sosial. Ia penting kerana sebuah institusi amanah awam tidak boleh berdiri atas hubungan, pengaruh atau alasan teknikal yang dipetik secara terpisah.
“Ia mesti berdiri atas kebenaran, atas rekod yang lengkap, atas audit yang bebas dan atas pentadbiran yang boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.
Justeru, Faris menegaskan proses RCI tidak seharusnya dihentikan atau dipadamkan dengan political spin, sebaliknya perlu diteruskan sehingga persoalan mengenai 14 pelaburan tersebut terjawab sepenuhnya.
Beliau menggesa supaya audit forensik terhadap kesemua 14 pelaburan dilaksanakan, selain pendedahan penuh mengenai punca kerugian, proses kelulusan dan aliran dana.
“Tindakan undang-undang perlu diambil sekiranya bukti menyokongnya, manakala penambahbaikan tadbir urus mesti dilaksanakan supaya pengkhianatan amanah seperti ini tidak berulang.
“Tabung Haji bukan milik mana-mana pentadbiran. Bukan milik mana-mana parti. Bukan milik mana-mana tokoh yang mahu mempertahankan legasi sendiri.
“Tabung Haji milik pendeposit. Milik umat Islam. Milik negara,” katanya.
Faris berkata, apabila tujuh pelaburan boleh hangus 100 peratus, tuntutan untuk mendapatkan kebenaran bukanlah serangan politik, sebaliknya merupakan tuntutan amanah seluruh rakyat Malaysia.