KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 — Parti Amanah Negara (AMANAH) menyambut baik dan menyokong penuh hasrat Kerajaan untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 seperti diumumkan Perdana Menteri pada 15 Ogos lalu.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, YB Azli Bin Yusof, berkata pemansuhan AUKU merupakan satu lagi tonggak penting dalam usaha reformasi institusi dan pendidikan tinggi negara.
Menurut beliau, mahasiswa tidak sepatutnya berdepan tindakan tatatertib hanya kerana menyuarakan pandangan politik, mengkritik dasar, berbeza pendapat atau mengambil pendirian terhadap isu masyarakat.
“Semoga tiada lagi mahasiswa yang menjadi mangsa kerana bersuara. Universiti seharusnya menjadi tempat mahasiswa belajar mengemukakan pandangan, mengkritik dasar, berbeza pendapat dan mempertahankan hujah berdasarkan ilmu dan fakta,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang lebih lima dekad kewujudannya, AUKU menjadi sebahagian daripada kerangka perundangan yang mengawal ruang mahasiswa dalam berpersatuan, bersuara, berpolitik dan berinteraksi dengan masyarakat.
Katanya, pemansuhan akta tersebut perlu menjadi titik perubahan daripada budaya mengawal mahasiswa kepada budaya mempercayai dan memperkasa mereka.
“Sekatan di bawah AUKU pernah melampaui pagar universiti apabila mahasiswa turut berdepan batasan dalam penglibatan dengan parti politik, pertubuhan serta aktiviti di luar universiti. Tidak kurang juga mahasiswa yang dikenakan tindakan tatatertib sehingga menjejaskan hak mereka untuk menuntut ilmu di menara gading,” katanya.
Azli turut mengingatkan bahawa sejarah gerakan mahasiswa tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan masyarakat. Pada era 1970-an, mahasiswa tampil membangkitkan isu kemiskinan, kenaikan harga barang, nasib petani dan ketidakadilan sosial, termasuk penglibatan dalam Peristiwa Baling 1974.
Beliau turut merujuk kepada kes empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikenakan tindakan berhubung penglibatan mereka dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2010. Kes tersebut akhirnya sampai ke mahkamah dan menjadi antara perkembangan penting dalam isu hak mahasiswa di bawah AUKU.
“Mahasiswa yang prihatin terhadap masalah rakyat adalah aset, bukan ancaman kepada negara. Mereka mesti diberikan ruang untuk belajar tentang demokrasi melalui pengalaman sebenar,” tegasnya.
Menurut Azli, pindaan AUKU pada 2012 yang melonggarkan beberapa sekatan terhadap penglibatan politik mahasiswa merupakan langkah penting, namun reformasi tidak seharusnya berhenti pada pindaan kecil.
Sehubungan itu, katanya, pemansuhan AUKU perlu menjadi permulaan kepada pembentukan kerangka baharu yang lebih demokratik, matang dan berasaskan autonomi universiti serta mahasiswa.
“Universiti yang baik bukan sekadar melahirkan graduan yang memperoleh keputusan cemerlang. Universiti mesti menjadi medan intelektual yang melahirkan generasi yang mampu berfikir secara kritis, menguji sesuatu idea, berbeza pendapat secara matang, mempertahankan hujah berdasarkan fakta, memahami masalah masyarakat dan menawarkan penyelesaian kepada negara,” katanya.
AMANAH turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memastikan kerangka baharu yang bakal diperkenalkan memberikan penekanan kepada jaminan kebebasan bersuara, hak untuk berpersatuan, proses tatatertib yang telus, mekanisme rayuan yang berkesan serta ruang lebih luas untuk mahasiswa terlibat dalam proses membuat keputusan berkaitan kehidupan kampus.
“AMANAH menyokong sepenuhnya hasrat ini dan berharap Kerajaan akan meneruskannya sehingga universiti Malaysia benar-benar menjadi medan ilmu yang bebas berkarya dan bersuara, demokratik dan bertanggungjawab,” katanya.