SHAH ALAM: Pemuda Amanah Shah Alam menyifatkan cabaran UMNO-BN Selangor supaya Dewan Negeri Selangor dibubarkan sebagai satu bentuk retorik politik yang seharusnya disusuli dengan pembuktian melalui prestasi, dasar dan kerja kepada rakyat.
Naib Ketua Pemuda Amanah Shah Alam, Amirul Izwan berkata, kenyataan Datuk Muadzam Shah yang mencabar YAB Dato’ Seri Amirudin Shari untuk membubarkan Dewan Negeri Selangor perlu dilihat dalam konteks sejarah percaturan politik sebelum ini.
Menurutnya, rakyat Selangor masih mengingati naratif politik berkaitan “penyatuan ummah” yang pernah dimainkan menjelang dua pilihan raya negeri terdahulu, khususnya ketika negara sedang membina formula Kerajaan Perpaduan.
“Kalau benar-benar yakin dengan kekuatan sendiri, jangan hanya berani membuat cabaran di media. Rakyat Selangor bukan mudah lupa siapa yang sebelum ini memilih untuk bermain politik bersama pembangkang melalui naratif ‘penyatuan ummah’,” katanya.
Beliau berkata, persoalan yang timbul ialah mengapa gagasan penyatuan Melayu-Islam ketika itu tidak dibina melalui sebuah khemah politik yang lebih besar dan merangkumi semua parti serta kelompok berkaitan.
“Kalau benar mahu penyatuan ummah, mengapa tidak dibina sebuah khemah besar yang merangkumi semua parti dan kelompok Melayu-Islam? Mengapa hanya parti tertentu yang mahu diajak bersama?” katanya.
Amirul Izwan turut mengingatkan agar UMNO-BN Selangor tidak menuding jari kepada pihak lain seolah-olah mereka tidak pernah terlibat dalam percaturan politik yang sama.
“Jangan baling batu, kemudian sembunyi tangan,” katanya.
Dalam pada itu, Pemuda Amanah Shah Alam turut meminta Datuk Muadzam Shah melihat prestasi sebenar Kerajaan Negeri Selangor dan tidak hanya bergantung kepada retorik politik.
Menurut Amirul Izwan, Selangor terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan, pendidikan dan kebajikan rakyat, termasuk usaha membantu anak-anak Selangor melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, kerajaan negeri antara lain telah memperkenalkan potongan 50 peratus yuran pengajian bagi anak Selangor yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi sebagai salah satu usaha mengurangkan beban pendidikan golongan muda.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa parti-parti yang kini berada dalam Kerajaan Perpaduan juga mempunyai sejarah serta janji politik masing-masing.
“Janganlah seolah-olah segala kelemahan dalam negara dan negeri ini hanya berpunca daripada Pakatan Harapan,” katanya.
Amirul Izwan turut menyeru Pemuda UMNO Selangor supaya menghormati semangat Kerajaan Perpaduan yang sedang dibina di peringkat nasional.
Katanya, sekiranya UMNO masih memilih untuk berada dalam satu kerajaan, prinsip kerjasama yang telah dipersetujui perlu dihormati dan diamalkan secara konsisten.
“Jangan pada siang hari duduk bersama dalam kerajaan, tetapi pada sebelah malam pergi membawa naratif politik yang bertentangan dengan semangat kerjasama tersebut.
“Kalau prinsipnya ialah Kerajaan Perpaduan, maka semangat perpaduan itu mesti diamalkan secara konsisten — bukan ketika menguntungkan, dan ditinggalkan apabila mahu mencari publisiti politik,” katanya.
Mengulas cabaran supaya Dewan Negeri Selangor dibubarkan, beliau berkata UMNO-BN Selangor seharusnya membuktikan terlebih dahulu keyakinan mereka melalui kerja, dasar dan hujah yang meyakinkan rakyat.
“Kalau benar yakin rakyat Selangor menolak Kerajaan Negeri hari ini, buktikan melalui kerja, dasar dan hujah.
“Jangan hanya mencabar pembubaran Dewan Negeri. Pilihan raya bukan pentas untuk menguji siapa paling kuat bercakap. Ia adalah medan untuk rakyat menilai siapa yang benar-benar bekerja,” katanya.
Amirul Izwan menegaskan bahawa keputusan mengenai masa depan kerajaan negeri akhirnya terletak pada penilaian rakyat Selangor.
“Siapa baling batu, sembunyi tangan. Rakyat Selangor boleh menilai,” katanya.