[PARLIMEN] Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof berpandangan usaha Kerajaan MADANI melestarikan industri padi serta membela nasib pesawah menerusi pindaan Rang Undang-Undang Kawalan Padi dan Beras tidak akan mencapai matlamat sepenuhnya sekiranya aspek penguatkuasaan masih lemah.
Menurut beliau, pindaan yang memberi tumpuan kepada peningkatan kadar denda dan hukuman perlu disertai dengan sistem pemantauan yang lebih berkesan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang.
“Kita memerlukan pemantauan yang lebih berkesan. Penggunaan teknologi seperti sistem jejak digital dan pangkalan data bersepadu perlu dilaksanakan supaya setiap pergerakan beras dapat dikesan, bermula dari kilang sehingga ke rak jualan,” katanya ketika membahaskan rang undang-undang itu di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, penguatkuasaan yang diperkasakan melalui penggunaan teknologi mampu membendung kegiatan penyorokan, penipuan pelabelan serta manipulasi bekalan beras yang menjejaskan pengguna dan pesawah.
Dalam masa sama, Azli yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti AMANAH Negara berharap pindaan tersebut turut memberi perlindungan yang lebih menyeluruh kepada golongan pesawah.
“Produktiviti pesawah perlu dipertingkatkan melalui penggunaan benih berkualiti, mekanisasi, teknologi pintar serta pengurusan air yang lebih cekap,” ujarnya.
Terdahulu, beliau merakamkan penghargaan dan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan MADANI, khususnya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta kementerian berkenaan, atas kejayaan menangani krisis rantaian bekalan beras yang pernah melanda negara pada peringkat awal pentadbiran kerajaan.
Menurutnya, hasil langkah yang dilaksanakan kerajaan, isu kekurangan bekalan beras di pasaran kini berjaya diatasi.
“Sehingga hari ini, kita tidak lagi mendengar aduan mengenai kekurangan bekalan beras dalam pasaran,” katanya.