PUTRAJAYA, 16 Mac -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat manuskrip-manuskrip mushaf al-Quran Yayasan Restu semasa hadir ke Majlis Peluncuran Mushaf Malaysia MADANI di Nasrul Quran hari ini. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Oleh:
SM Ismail
“Islam terancam” merupakan ungkapan yang sering kedengaran dalam wacana politik dan media di Malaysia. Setiap kali berlaku pilihan raya, timbul isu berkaitan agama atau muncul perbezaan pandangan mengenai dasar kerajaan, dakwaan bahawa Islam sedang diancam kembali menjadi tajuk utama.
Naratif ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan umat Islam, malah ada yang percaya bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan semakin terhakis.
Persoalannya, benarkah Islam terancam? Atau adakah yang sebenarnya terancam ialah kepentingan politik pihak tertentu yang menggunakan sentimen agama bagi meraih sokongan?
Sebagai umat Islam, kita dituntut berlaku adil terhadap fakta. Allah SWT berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang benar-benar menegakkan keadilan kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri…”
(Surah al-Nisa’: 135)
Oleh itu, dakwaan bahawa Islam sedang terancam perlu dinilai berdasarkan fakta, Perlembagaan Persekutuan, keputusan mahkamah serta realiti pentadbiran negara, bukannya berdasarkan persepsi atau retorik politik.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memperuntukkan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.” Peruntukan ini bukan sekadar perisytiharan simbolik, bahkan menjadi asas kepada kewujudan pelbagai institusi Islam yang dibiayai dan diperkasakan oleh negara.
Raja-Raja Melayu ialah Ketua Agama Islam di negeri masing-masing, manakala Yang di-Pertuan Agong menjadi Ketua Agama Islam bagi Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Jadual Kesembilan Perlembagaan memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk mentadbir hal ehwal Islam termasuk hukum syarak, Mahkamah Syariah, zakat, wakaf, baitulmal, masjid dan pendidikan agama. Perkara 12(2) pula membenarkan kerajaan menggunakan dana awam bagi menubuhkan dan membantu institusi pendidikan Islam. Perkara 121(1A) mengiktiraf bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam perkara yang berada di bawah bidang kuasanya.
Realitinya, Malaysia mempunyai sistem pentadbiran Islam yang antara paling lengkap di dunia Islam. Terdapat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Agama Islam di setiap negeri, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah, institusi zakat dan wakaf, ribuan masjid dan surau, sekolah agama kerajaan, sekolah menengah agama, institusi tahfiz, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta pelbagai institusi lain yang dibiayai oleh kerajaan melalui peruntukan tahunan.
Dari sudut kehakiman, Mahkamah Persekutuan dalam Che Omar Che Soh lwn Pendakwa Raya (1988) menegaskan bahawa Islam mempunyai kedudukan yang diiktiraf dalam Perlembagaan walaupun bidang pelaksanaannya tertakluk kepada kerangka Perlembagaan. Dalam Lina Joy lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (2007) pula, Mahkamah Persekutuan mengesahkan bahawa urusan keluar daripada agama Islam melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah mengikut undang-undang negeri. Keputusan-keputusan ini menunjukkan bahawa institusi Islam terus mendapat pengiktirafan dalam sistem kehakiman negara.
Hakikatnya, tidak banyak negara di dunia yang memberikan kedudukan perlembagaan, perlindungan institusi dan pembiayaan awam kepada agama Islam seperti yang dinikmati di Malaysia. Umat Islam bebas mendirikan masjid, melaungkan azan, melaksanakan solat Jumaat, mengutip zakat, mengurus wakaf, membuka sekolah agama, menjalankan dakwah dan menyambut hari kebesaran Islam dengan sokongan kerajaan.
Ini bukan bermakna tiada cabaran. Cabaran memang wujud, namun cabaran tersebut lebih menjurus kepada usaha memperkukuh kefahaman agama, menangani gejala sosial, membanteras rasuah, mengukuhkan institusi keluarga, meningkatkan pendidikan serta memelihara perpaduan umat. Semua ini ialah cabaran terhadap umat Islam, bukan bukti bahawa Islam sebagai agama Persekutuan sedang terancam.
Justeru, dakwaan bahawa “Islam terancam di Malaysia” perlu dinilai secara objektif. Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, struktur pemerintahan, keputusan mahkamah dan realiti pentadbiran negara, kedudukan Islam masih kukuh dan dilindungi oleh undang-undang tertinggi negara. Yang lebih penting ialah memastikan umat Islam memperkukuh ilmu, akhlak, integriti dan perpaduan. Sesungguhnya ancaman terbesar terhadap Islam bukanlah pada kedudukan Perlembagaannya, tetapi apabila umatnya gagal menghayati ajaran Islam yang sebenar dalam kehidupan seharian.
Sebenarnya yg terancam adalah golongan yang menggunakan agama untuk kepentingan diri, kelompok dan salah guna kuasa. Mengheret emosi umat dengan sentimen murahan demi meraih kuasa dan kedudukan yang bersifat sementara.
Ayuh cerdaskan minda dan sebarkan fakta kebenaran kepada semua.