PICTURE BY SAYUTI ZAINUDIN
KUALA LUMPUR, 16 Julai – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memperhebat langkah persediaan bagi mengurangkan impak fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan terhadap sektor pertanian serta keterjaminan makanan negara.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelbagai inisiatif telah dirangka meliputi aspek pembekalan air untuk pengairan, pengeluaran padi dan tanaman makanan, sektor penternakan serta usaha memastikan bekalan makanan negara kekal mencukupi.
Menurut beliau, bagi memastikan bekalan air pengairan sentiasa mencukupi, kementerian memberi tumpuan kepada pengurusan aset air strategik, pelaksanaan pengurusan sumber air secara bersepadu, memperluaskan penggunaan Sistem Pemantauan Pengairan Pintar (Smart Irrigation Monitoring System) dan Sistem Pengairan Titis (TITIS), selain memperkukuh infrastruktur pengairan.
“Bagi pengeluaran padi dan tanaman makanan pula, kementerian mengoptimumkan penggunaan sumber air, melaksanakan kaedah pengurusan air alternatif, mempergiat penyelidikan dan pembangunan varieti padi yang berhasil tinggi serta tahan kemarau, selain melaksanakan Operasi Pembenihan Awan di kawasan yang mengalami kekurangan sumber air kritikal,” katanya ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, KPKM turut menyalurkan maklumat ramalan cuaca serta amaran awal gelombang haba yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) secara berkala bagi membantu petani merancang aktiviti penanaman dengan lebih berkesan.
Dalam sektor penternakan pula, katanya, kementerian menggalakkan penggunaan Pertanian Persekitaran Terkawal (Controlled Environment Agriculture, CEA), termasuk pembinaan reban ayam tertutup, selain menyalurkan bantuan kepada penternak yang terjejas menerusi Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) atau Tabung Bencana Pertanian (TBP).
Mohamad berkata, langkah-langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mengurangkan kesan cuaca ekstrem, sekali gus memastikan sektor agromakanan negara terus berdaya tahan dan bekalan makanan rakyat tidak terjejas.