--fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 17 Julai – Sistem pendidikan negara perlu melahirkan generasi yang menguasai teknologi baharu tanpa mengorbankan nilai akhlak, kemanusiaan dan integriti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau memaklumkan perubahan landskap global yang dipacu transformasi digital, kecerdasan buatan (AI) dan peralihan tenaga sememangnya menuntut sistem pendidikan bergerak seiring dengan perkembangan semasa supaya negara tidak tercicir dalam persaingan dunia.
Namun, penguasaan teknologi perlu disertai pembentukan karakter bagi memastikan kemajuan yang dicapai memberi manfaat kepada masyarakat.
“Sebab itulah saya mempopularkan ungkapan ‘menggapai yang di langit’ dalam kalangan anak-anak yang bermaksud kita perlu menguasai semua teknologi baharu.
“Pada masa sama, kita tetap berakar di bumi dengan berpegang teguh pada tradisi, budaya, agama, akhlak dan moral. Bagi saya, inilah kekuatan konsep MADANI dan sistem pendidikan yang melangkaui pembelajaran melalui buku semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar IPG Kampus Pendidikan Teknik, di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, pendidikan juga perlu menjadi benteng terhadap budaya kebencian, perkauman dan prasangka kerana kestabilan negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi atau teknologi.
Selain itu, cabaran pendidikan bukan sekadar memastikan guru menguasai teknologi terkini, tetapi membentuk pendidik yang mampu menjadi ejen perubahan dalam masyarakat.
“Pendidikan yang menyeluruh perlu disediakan bagi melahirkan guru yang berkelayakan serta memahami makna kasih sayang yang berteraskan akidah, akhlak dan nilai kemanusiaan,” jelasnya.