KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM1.75 juta kepada Kerajaan Negeri Selangor bagi menyokong penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, sekali gus memastikan kelancaran temasya dwitahunan itu.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, komitmen tersebut meliputi penyediaan kemudahan sukan milik Majlis Sukan Negara (MSN), bantuan kewangan serta sokongan teknikal.
Menurut beliau, KBS menyediakan penggunaan Velodrom Nasional pada kadar sewaan khas selain menawarkan Kompleks Belia dan Sukan Selangor sebagai venue pertandingan bagi acara futsal, para memanah dan para badminton.
“Selain itu, KBS turut menyalurkan bantuan sebanyak RM1 juta bagi keperluan kepegawaian teknikal temasya serta memperuntukkan RM350,000 kepada 54 ketua delegasi teknikal yang mewakili setiap jenis sukan yang dipertandingkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Larry Anak Asap di Dewan Negara, hari ini.
Dalam pada itu, KBS turut memperuntukkan RM100,000 bagi pelaksanaan proses klasifikasi atlet Para SUKMA, manakala RM300,000 disediakan untuk program kawalan doping yang dikendalikan oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS).
Secara keseluruhan, bantuan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan penganjuran SUKMA 2026 di Selangor berlangsung lancar, teratur dan memenuhi standard pengurusan sukan bertaraf kebangsaan.