SHAH ALAM: Persoalan mengenai kemampuan Pas mentadbir Selangor dibangkitkan susulan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, yang menyatakan parti itu tidak perlu mengemukakan belanjawan alternatif atau pelan pentadbiran lengkap sebagai bukti kesediaan mengambil alih negeri berkenaan.
Faris berkata, pengalaman mentadbir beberapa negeri sememangnya penting, namun ia tidak memadai sekiranya tidak disertai pelan yang jelas, terukur dan sesuai dengan skala ekonomi Selangor.
“Dalam sains tadbir urus moden, pengalaman tanpa pelan hanyalah keyakinan dan janji kosong. Mentadbir bukan sekadar soal siapa yang mahu berkuasa, tetapi bagaimana mandat diterjemahkan kepada angka, dasar dan hasil,” katanya.
Menurut beliau, skala ekonomi Selangor jauh lebih besar berbanding gabungan empat negeri yang membentuk SG4.
Katanya, KDNK Selangor bernilai RM460.1 bilion, iaitu sekitar 26.5 peratus daripada ekonomi negara.
Sebaliknya, jumlah KDNK Kedah sebanyak RM56.3 bilion, Kelantan RM29.8 bilion, Terengganu RM40.6 bilion dan Perlis RM6.7 bilion hanya membentuk kira-kira RM133.4 bilion secara keseluruhan.
“Ini bermakna ekonomi Selangor sahaja kira-kira 3.45 kali ganda lebih besar berbanding gabungan empat negeri SG4.
“Ekonomi Selangor dipacu oleh industri berteknologi tinggi, pelaburan global dan pasaran bandar yang kompleks. Justeru, pengurusannya memerlukan kerangka fiskal dan dasar yang khusus, bukannya andaian bahawa perincian boleh difikirkan selepas menang,” katanya.
Faris turut menegaskan bahawa belanjawan bukan sekadar dokumen pentadbiran, sebaliknya merupakan komitmen dasar yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, Kerajaan Selangor mengurus belanjawan berjumlah RM3.23 bilion, merangkumi RM1.86 bilion untuk perbelanjaan operasi dan RM1.37 bilion bagi pembangunan.
Antara komitmen yang dinyatakan termasuk RM40 juta untuk subsidi air percuma, RM30 juta bagi Jualan Ehsan Rahmah, RM20 juta untuk Iltizam Selangor Sihat, RM20 juta bagi Khairat Darul Ehsan serta RM282.5 juta untuk Skim Smart Sewa.
Dalam aspek pemerkasaan hal ehwal Islam pula, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM4.5 juta untuk membaik pulih sekolah agama, RM3 juta bagi menaik taraf 20 masjid kariah, RM7.2 juta untuk bantuan dan insentif jemaah haji serta RM1 juta bagi memperkasa Akademi Literasi al-Quran dan Akademi Turath.
Sehubungan itu, Faris mencabar Pas mengemukakan jawapan terhadap sekurang-kurangnya enam persoalan asas sekiranya benar-benar serius untuk mengambil alih pentadbiran Selangor.
“Berapa hasil yang mahu dikutip dan daripada sumber mana? Apakah strategi pelaburan dan penciptaan pekerjaan bergaji tinggi? Apakah sasaran untuk isu air, banjir, perumahan, sampah dan mobiliti?
“Berapa kos yang diperlukan untuk kebajikan rakyat serta institusi Islam? Apakah KPI selepas 100 hari, setahun dan lima tahun? Jika mahu meningkatkan perbelanjaan, apakah sumber dana dan trade-off yang akan dibuat?” soalnya.
Beliau berkata, rakyat Selangor tidak seharusnya diminta memberikan mandat berdasarkan janji umum semata-mata, sebaliknya berhak menilai tawaran pentadbiran berdasarkan angka, strategi, sumber kewangan dan garis masa pelaksanaan.
“Kalau Pas benar-benar mahu menggantikan Kerajaan Selangor, bentangkanlah tawaran yang lebih baik.
“Demokrasi matang menolak pemberian cek kosong. Rakyat berhak mengetahui kos, strategi, sumber hasil dan garis masa pelaksanaan sebelum membuat keputusan di peti undi,” katanya.
Faris menegaskan bahawa Selangor memerlukan kerajaan yang bersedia sebelum meminta mandat rakyat, bukannya pendekatan “cuba dahulu, fikir kemudian”.
“Rakyat Selangor berhak mendapat kerajaan yang mampu memastikan negeri ini terus maju, stabil dan menjaga kebajikan semua,” katanya.