Oleh:
Shamsul Ma’arif Ismail
Sambutan Maulidur Rasul SAW bukan sekadar memperingati kelahiran seorang insan agung, tetapi seharusnya menjadi ruang untuk kita menghayati kembali risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW iaitu risalah tauhid yang mengubah manusia, membebaskan masyarakat daripada kejahilan, membina kesatuan ummah dan mewujudkan kehidupan berasaskan keadilan.
Rasulullah SAW diutuskan membawa manusia daripada pengabdian kepada sesama manusia kepada pengabdian hanya kepada Allah SWT. Tauhid menjadi asas kepada perubahan seluruh kehidupan. Daripada tauhid lahir amanah, keadilan, persaudaraan, kasih sayang dan tanggungjawab terhadap manusia.
Allah SWT berfirman:
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah al-Anbiyā’: 107)
Risalah Rasulullah SAW merupakan reformasi terhadap masyarakat jahiliah. Baginda menentang syirik, kezaliman, fanatisme kabilah, penindasan golongan lemah dan amalan sosial yang merendahkan martabat manusia.
Islam mengangkat maruah wanita. Al-Quran memberikan wanita hak dalam pemilikan harta, perkahwinan, pusaka dan kehidupan bermasyarakat, serta menghapuskan amalan jahiliah yang menzalimi mereka. Allah SWT berfirman:
وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Dan bagi mereka (para wanita) hak yang seimbang dengan kewajipan mereka menurut cara yang makruf.”
(Surah al-Baqarah: 228)
Rasulullah SAW juga memberikan perhatian besar kepada golongan miskin, anak yatim dan mereka yang tertindas. Islam tidak menerima kekayaan hanya beredar dalam kalangan orang kaya. Zakat, sedekah, wakaf dan sistem tanggungjawab sosial menjadi instrumen untuk memastikan keperluan golongan lemah terbela.
Allah SWT mengingatkan:
وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ
“Dan pada harta mereka terdapat hak bagi orang yang meminta dan orang yang tidak mendapat bahagian.”
(Surah al-Dhāriyāt: 19)
Rasulullah SAW juga membawa perjuangan menentang penindasan dan kezaliman. Islam tidak mengajar umatnya berdiam diri apabila hak manusia dirampas. Prinsip keadilan hendaklah ditegakkan walaupun terhadap pihak yang tidak disukai.
Allah SWT berfirman:
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ
“Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana ia lebih dekat kepada takwa.”
(Surah al-Mā’idah: 8)
Ayat ini amat besar maknanya dalam kehidupan bernegara. Keadilan tidak boleh menjadi milik kelompok tertentu sahaja. Ia mesti ditegakkan kepada kawan dan lawan, kaya dan miskin, Muslim dan bukan Muslim.
Rasulullah SAW juga membina sistem hukum dan perundangan yang bertujuan menjaga keadilan dan kemaslahatan manusia. Hukum dalam Islam bukan sekadar hukuman, tetapi mempunyai matlamat menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia. Prinsip ini kemudiannya dihuraikan secara sistematik oleh ulama melalui konsep Maqāṣid al-Sharī‘ah.
Dalam pembentukan masyarakat Madinah, Rasulullah SAW turut meletakkan asas hubungan politik dan sosial melalui Piagam Madinah. Ia mengatur hubungan antara pelbagai kelompok masyarakat, menetapkan tanggungjawab bersama terhadap keselamatan Madinah dan mengiktiraf hak kelompok yang berbeza agama dalam kehidupan bermasyarakat.
Piagam Madinah memperlihatkan bahawa pembinaan negara tidak semestinya berasaskan penghapusan kepelbagaian. Sebaliknya, ia boleh dibina atas perjanjian, keadilan, tanggungjawab bersama, kebebasan beragama dan keamanan.
Islam juga tidak disebarkan dengan paksaan. Al-Quran menegaskan:
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ
“Tiada paksaan dalam agama.”
(Surah al-Baqarah: 256)
Dakwah Rasulullah SAW berasaskan hikmah, nasihat yang baik dan dialog:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.”
(Surah al-Naḥl: 125)
Sejarah awal Islam juga memperlihatkan bahawa penyebaran Islam berlaku melalui dakwah, akhlak, perdagangan, hubungan masyarakat dan perjanjian, selain perkembangan politik yang berlaku dalam konteks sejarah tertentu. Justeru, tidak tepat untuk menggambarkan keseluruhan penyebaran Islam sebagai penyebaran melalui kekerasan.
Rasulullah SAW juga membina kesatuan ummah dengan menggantikan taasub kabilah kepada persaudaraan Islam. Golongan Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan, manakala masyarakat Madinah disatukan melalui perjanjian dan tanggungjawab bersama.
Namun kesatuan tidak bermaksud menghapuskan kepelbagaian. Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali.”
(Surah al-Ḥujurāt: 13)
Inilah antara warisan besar Rasulullah SAW: tauhid yang membebaskan manusia, hukum yang menegakkan keadilan, perlindungan terhadap golongan lemah, pengiktirafan terhadap maruah wanita, penolakan terhadap penindasan, kesatuan ummah dan kehidupan bersama yang aman.
Maka, Maulidur Rasul sepatutnya menjadi momentum muhasabah dan reformasi, bukan sekadar perayaan tahunan. Kita perlu bertanya: apakah makna mencintai Rasulullah SAW jika rasuah masih berlaku, amanah dikhianati, golongan miskin terpinggir, wanita dizalimi, hak manusia dinafikan dan keadilan dipengaruhi kepentingan?
Rasulullah SAW mengajar bahawa agama bukan hanya ibadah individu. Islam juga menuntut keadilan sosial, amanah dalam pemerintahan, perlindungan terhadap golongan lemah dan penghormatan terhadap manusia.
Allah SWT berfirman:
إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan.”
(Surah al-Naḥl: 90)
Oleh itu, ukuran kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan hanya pada kemeriahan sambutan Maulidur Rasul, tetapi pada sejauh mana akhlak dan perjuangan Baginda diterjemahkan dalam kehidupan.
Menghidupkan Maulidur Rasul bererti menghidupkan tauhid, membela yang tertindas, menjaga hak wanita dan orang miskin, menegakkan hukum dan keadilan, menyatukan ummah serta menyebarkan Islam dengan hikmah, rahmah dan keamanan.
Itulah risalah Nabi Muhammad SAW membawa manusia daripada jahiliah kepada iman, daripada kezaliman kepada keadilan dan daripada perpecahan kepada persaudaraan.