KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, mencetuskan suasana riuh di Dewan Rakyat hari ini apabila dilihat seolah-olah tersilap dengan mengucapkan tahniah kepada Perikatan Nasional (PN) dan PAS sebelum segera membetulkan kenyataannya.
Ketika mencelah sebelum sesi soalan lisan bermula, Mohd Sany berkata:
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Perikatan Nasional, PAS. Takziah kepada BN… eh, terbalik. Tahniah kepada BN, takziah kepada Perikatan Nasional dan PAS.”
Kenyataan itu disambut dengan gelak tawa dan sorakan beberapa anggota Dewan sebelum Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, mengingatkan semua ahli parlimen supaya mematuhi Peraturan Mesyuarat.
Insiden itu berlaku ketika Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, bangun menjawab soalan asal Mohd Sany mengenai langkah kerajaan mengatasi kekurangan kolej kediaman yang menyebabkan ramai pelajar terpaksa menyewa di luar kampus dengan kos yang tinggi.
Mohd Sany dipercayai menyindir PAS dan PN susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 yang menyaksikan gabungan itu gagal memenangi sebarang kerusi. Beliau kemudian membetulkan kenyataannya dengan mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) serta mengucapkan takziah kepada PN dan PAS.