JOHOR BAHRU, 8 Jun – Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat, menolak alasan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak sesuai diadakan pada tahun 2027 kerana bertembung dengan musim sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata kenyataan yang dibuat oleh Onn Hafiz yang menggambarkan PRN Johor tidak sesuai diadakan pada tahun 2027 atas faktor sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan berlangsung selama dua bulan, tidak selari dengan fakta sejarah pilihan raya di negara ini.
Menurut Suhaizan, berdasarkan jangkaan semasa, Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2027 dijangka disambut pada 10 Mac, manakala tempoh Dewan Negeri Johor hanya akan berakhir pada 21 April 2027.
Beliau menjelaskan bahawa sekiranya Dewan Negeri Johor tidak dibubarkan lebih awal, pilihan raya negeri hanya perlu diadakan selepas tarikh tersebut mengikut peruntukan undang-undang yang menetapkan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh maksimum 60 hari selepas pembubaran.
“Ini bermakna pilihan raya negeri berpotensi berlangsung sekitar Jun 2027, iaitu hampir empat bulan selepas Hari Raya Aidilfitri. Oleh itu, alasan bahawa pilihan raya tidak boleh diadakan kerana faktor Hari Raya selama dua bulan adalah tidak berasas kerana tiada warga Johor yang berhari raya selama empat bulan,” katanya.
Suhaizan yang juga pimpinan AMANAH Nasional turut menegaskan bahawa sejarah pilihan raya di Malaysia menunjukkan beberapa pilihan raya pernah diadakan dalam tempoh yang jauh lebih hampir dengan Hari Raya Aidilfitri berbanding situasi yang dijangka berlaku pada tahun 2027.
Beliau merujuk kepada beberapa pilihan raya terdahulu yang berlangsung tidak lama selepas Aidilfitri, termasuk pada tahun 1995 yang diadakan 54 hari selepas Hari Raya, tahun 1986 (55 hari selepas Hari Raya) dan tahun 1964 (69 hari selepas Hari Raya).
“Pada waktu tersebut, tiada krisis demokrasi berlaku. Tiada alasan bahawa rakyat tidak boleh keluar mengundi dan tiada alasan bahawa pilihan raya tidak boleh dijalankan kerana musim perayaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa faktor Hari Raya Aidilfitri tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalang pelaksanaan PRN Johor pada tahun 2027.
Suhaizan berkata pelaksanaan pilihan raya perlu terus berpandukan kepada prinsip demokrasi dan peruntukan undang-undang yang sedia ada, tanpa dipengaruhi oleh alasan yang tidak disokong oleh rekod sejarah pilihan raya negara.