SHAH ALAM, 9 Jun — Selangor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama negara apabila merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM33.5 bilion bagi suku pertama tahun 2026, sekali gus muncul sebagai negeri penerima pelaburan tertinggi di Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, jumlah tersebut mewakili kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan nilai pelaburan yang diluluskan di Malaysia dalam tempoh berkenaan.
Menurut beliau, pencapaian itu turut menunjukkan pertumbuhan tiga kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu, sekali gus mencerminkan tahap keyakinan tinggi pelabur terhadap kekuatan ekonomi serta daya saing Selangor.
“Alhamdulillah, Selangor terus mengorak langkah sebagai penerima pelaburan tertinggi negara bagi Q1 2026 dengan nilai RM33.5 bilion, bersamaan kira-kira 36 peratus daripada keseluruhan pelaburan diluluskan di Malaysia, selain mencatat pertumbuhan tiga kali ganda tahun ke tahun.
“Ini bukan sekadar angka, tetapi petunjuk jelas terhadap keyakinan pelabur terhadap kekuatan ekonomi dan daya saing negeri ini.
“Insya-Allah, pencapaian ini akan terus diterjemahkan kepada lebih banyak peluang, pertumbuhan dan limpahan manfaat buat rakyat Selangor,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Berdasarkan data yang dikongsikan, Selangor mendahului negeri-negeri lain dengan nilai pelaburan RM33.5 bilion, jauh mengatasi Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang masing-masing mencatatkan RM16.9 bilion. Pulau Pinang merekodkan RM6.2 bilion manakala Sarawak sebanyak RM4.0 bilion.
Prestasi memberangsangkan itu dijangka memperkukuhkan lagi kedudukan Selangor sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan, merancakkan aktiviti perniagaan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui limpahan ekonomi yang lebih meluas.