SHAH ALAM, 16 Jun — Inisiatif Biasiswa Anak eKasih PTPTN (BAeK PTPTN) yang diperkenalkan kerajaan disifatkan sebagai langkah tepat dalam memperkasakan pendidikan golongan kurang berkemampuan serta membantu memutuskan rantaian kemiskinan melalui akses kepada pengajian tinggi.
Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat Amanah Nasional merangkap Naib Pengerusi Amanah Selangor, Hj Shamsul Maarif Ismail berkata, program tersebut bukan sekadar bantuan kewangan kepada pelajar, malah merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan negara.
Menurut beliau, melalui BAeK PTPTN, pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih diberikan pembiayaan pendidikan dalam bentuk biasiswa, sekali gus membolehkan mereka melanjutkan pengajian tanpa perlu menanggung hutang pendidikan selepas tamat pengajian.
“Langkah ini memberikan kelegaan kepada ribuan keluarga yang selama ini berdepan kesukaran untuk membiayai kos pengajian anak-anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk memperluaskan manfaat program tersebut daripada 5,800 kepada 10,000 pelajar dengan peningkatan peruntukan kepada RM210 juta.
Menurutnya, langkah berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan lebih ramai anak daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.
“Pendidikan merupakan jalan paling berkesan untuk meningkatkan taraf hidup dan membina masa depan yang lebih baik. Ramai yang berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan hasil peluang pendidikan yang diberikan kepada mereka,” ujarnya.
Shamsul Ma’arif berkata, inisiatif tersebut juga mencerminkan prinsip keadilan sosial dengan memastikan setiap anak Malaysia mempunyai peluang yang sama untuk berjaya tanpa mengira latar belakang ekonomi.
Katanya, negara memerlukan lebih ramai graduan berkemahiran dan berpengetahuan bagi memacu pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara pada masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa dari perspektif Islam, usaha membantu golongan memerlukan mendapatkan pendidikan merupakan amalan yang sangat mulia kerana ilmu menjadi asas kepada pembangunan insan dan tamadun.
“Memberikan peluang kepada anak-anak daripada keluarga miskin untuk menuntut ilmu bukan sahaja membantu individu terbabit, malah memberi manfaat kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak untuk menyokong pelaksanaan BAeK PTPTN yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI kerana ia dilihat mampu membuka lebih banyak peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk mencapai cita-cita mereka.
Menurutnya, usaha tersebut bukan sahaja membantu rakyat mencapai mobiliti sosial yang lebih baik, malah merupakan pelaburan penting untuk melahirkan generasi berpendidikan yang mampu menyumbang kepada kemajuan negara pada masa hadapan.