ZAKIAH BEEVI KOYA
KUALA LUMPUR, 23 Jun – Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara, Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan isu penstrukturan semula Lembaga Tabung Haji yang dilaksanakan pada tahun 2018 tidak wajar terus dijadikan modal politik bagi menakut-nakutkan pengundi Melayu dan Islam menjelang pilihan raya negeri di Johor dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, dakwaan kononnya usaha menyelamatkan Tabung Haji gagal kerana masih terdapat aset yang belum dikembalikan kepada institusi itu merupakan hujah yang tidak memahami matlamat sebenar penstrukturan semula yang dilaksanakan ketika beliau memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Mujahid berkata, fokus utama penstrukturan semula tersebut adalah untuk memastikan Tabung Haji kembali mematuhi undang-undang selepas didapati pembayaran dividen sebelum itu dibuat dalam keadaan nilai aset lebih rendah berbanding liabiliti. Selain itu, langkah berkenaan bertujuan melindungi kepentingan pendeposit serta memastikan pengurusan kewangan Tabung Haji mematuhi piawaian yang ditetapkan.
“Pemindahan aset kepada syarikat tujuan khas hanyalah satu kaedah untuk memulihkan kedudukan kewangan Tabung Haji. Ia bukan matlamat utama penstrukturan semula. Proses pemulihan ini mempunyai tempoh jangka panjang sehingga tahun 2036 dan tidak boleh dinilai hanya selepas tujuh tahun pelaksanaannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, kejayaan sebenar usaha menyelamatkan Tabung Haji perlu diukur berdasarkan pematuhan semula kepada Akta Tabung Haji, peningkatan pulangan kepada pendeposit serta pengukuhan keyakinan pelabur dan pendeposit terhadap institusi tersebut.
Menurutnya, tindakan sesetengah pihak yang hanya memfokuskan kepada isu aset tertentu seperti hotel atau ladang yang belum dikembalikan kepada Tabung Haji telah mengabaikan persoalan lebih besar iaitu kestabilan kewangan dan kemampanan institusi berkenaan untuk jangka panjang.
Mujahid turut menegaskan bahawa sekiranya langkah penstrukturan semula yang diperkenalkan pada 2018 benar-benar gagal atau merugikan umat Islam, kerajaan selepas itu mempunyai ruang untuk membatalkannya ketika berada di tampuk pemerintahan.
“Sebaliknya, kerajaan selepas Pakatan Harapan meneruskan pelaksanaan penstrukturan semula tersebut dan dalam beberapa jawapan di Parlimen turut mengakui langkah itu memberi manfaat kepada Tabung Haji dan pendeposit,” katanya.
Beliau justeru menggesa orang ramai supaya menilai isu Tabung Haji berdasarkan fakta dan rekod pencapaiannya, bukannya terpengaruh dengan dakwaan yang disifatkan sebagai separuh benar serta bermotifkan kepentingan politik pilihan raya.
“Tabung Haji hari ini telah kembali mematuhi kehendak undang-undang, keyakinan pendeposit terus kukuh dan institusi itu beroperasi dengan lebih teratur serta mampan. Inilah makna sebenar menyelamatkan Tabung Haji,” katanya.