JOHOR BAHRU: Naib Presiden Parti Amanah Negara, Mahfuz Omar menggesa rakyat Johor menolak percaturan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), sambil menyifatkan negeri itu tidak wajar dijadikan medan eksperimen politik yang akhirnya mengorbankan kestabilan kerajaan dan kepentingan rakyat.
Kenyataan itu dibuat susulan tawaran Presiden PAS untuk menyokong BN sekiranya gabungan itu memerlukan tambahan kerusi bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Mahfuz, tawaran tersebut membuktikan PAS kini secara terbuka bersedia menjadi penyokong kepada kerajaan BN, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kestabilan kerajaan yang bakal dibentuk.
“Kalau hari ini PAS boleh meninggalkan Bersatu dan menghulurkan tangan kepada UMNO, apakah jaminan beberapa tahun lagi PAS tidak akan mengubah pendirian sekali lagi?
“‘Kerajaan bukan khemah pasar malam’. Hari ini pasang dengan seseorang, esok buka dan pasang dengan orang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahfuz berkata, sejarah politik negara menunjukkan PAS telah beberapa kali mengubah haluan politik apabila pernah bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat sebelum membentuk Muafakat Nasional dengan UMNO dan kemudiannya menyertai Perikatan Nasional bersama Bersatu.
Kini, katanya, PAS dilihat bersedia pula bekerjasama dengan BN di Johor.
Menurut beliau, Johor memerlukan sebuah kerajaan yang stabil dan bukannya kerajaan yang sentiasa dibayangi kemungkinan pertukaran rakan politik selepas pilihan raya.
Katanya, pelabur memerlukan kestabilan, peniaga memerlukan keyakinan manakala golongan muda memerlukan peluang pekerjaan, bukan kerajaan yang terus dibelenggu percaturan politik.
Mahfuz turut mengkritik alasan yang sering digunakan setiap kali berlaku perubahan pakatan politik.
“Setiap kali perubahan politik berlaku, alasan yang digunakan sentiasa dikaitkan dengan kepentingan agama dan Melayu. Namun akhirnya yang berubah ialah gabungan politik, bukannya nasib rakyat,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Johor perlu memikirkan kesan jangka panjang sekiranya kerajaan dibentuk melalui gabungan yang sentiasa berubah mengikut percaturan politik.
“Apabila kerajaan menjadi tidak stabil, pembangunan akan terganggu, keyakinan pelabur merosot dan pentadbiran negeri akan terus dibelenggu dengan percaturan politik.
“Johor memerlukan kestabilan, bukan politik lompat dari satu pakatan ke satu pakatan. Johor memerlukan kepastian, bukan eksperimen politik yang berulang-ulang,” katanya.
Sehubungan itu, Mahfuz berkata sudah tiba masanya rakyat Johor memilih sebuah kerajaan yang stabil, mempunyai hala tuju yang jelas serta memberi tumpuan kepada pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.
“Cukuplah rakyat Malaysia menjadi mangsa percaturan kuasa. Kini masanya Johor memilih sebuah kerajaan yang stabil, jelas hala tujunya dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada masa depan negeri serta kebajikan rakyat,” katanya.