JOHOR BAHRU, 10 Julai – Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyeru seluruh pengundi di Johor supaya menunaikan tanggungjawab mereka dalam sistem demokrasi dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 11 Julai ini.
Beliau berkata, kadar keluar mengundi yang tinggi amat penting bagi memastikan kerajaan yang bakal dibentuk benar-benar mewakili hasrat dan kehendak keseluruhan rakyat Johor.
“Undi yang kita mahukan ialah undi yang mewakili keseluruhan para pengundi. Kita berharap konsep ini dapat diterjemahkan dengan rakyat ramai-ramai keluar mengundi dan membuat pilihan yang tepat untuk membentuk sebuah kerajaan yang kelak akan memberikan khidmat bakti kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, bangsa, keturunan dan agama,” katanya dalam satu seruan sempena PRN Johor.
Menurut Mujahid, tarikh 11 Julai merupakan detik yang sangat penting dan perlu diambil serius oleh semua pengundi yang layak.
Beliau menegaskan bahawa setiap undi yang diberikan perlu membawa makna dalam usaha membentuk sebuah kerajaan yang mewakili semua lapisan masyarakat serta mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan memacu Johor ke hadapan.
“Pastikan undi kita itu bermakna untuk membentuk sebuah kerajaan yang mewakili semua kaum, bangsa dan agama serta dapat memastikan negeri Johor terus ke depan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mujahid turut menyatakan harapan agar Pakatan Harapan diberikan sokongan semaksimum mungkin dalam pilihan raya kali ini.
Katanya, sokongan yang disertai dengan peratus keluar mengundi yang tinggi akan melambangkan kehendak rakyat dalam menentukan masa depan negeri melalui proses demokrasi.
“Dengan itu, kita mahu Pakatan Harapan membentuk kerajaan dengan sokongan semaksimal mungkin daripada peratus keluar mengundi, kerana itu sendiri akan melambangkan keinginan dan kehendak rakyat dalam menentukan demokrasi pemilihan rakyat,” katanya lagi.
PRN Johor pada 11 Julai ini menyaksikan para pengundi akan menentukan kerajaan negeri yang baharu bagi menerajui Johor untuk penggal akan datang.