KUALA LUMPUR: Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Integriti, Governan dan Antirasuah (KRPPM-IGAR) berharap usaha memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya diteruskan dengan beberapa penambahbaikan, khususnya bagi memperkukuh mekanisme semak dan imbang melalui penglibatan Parlimen.
Pengerusinya, Azli Yusof berkata, pihaknya menyambut baik pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) oleh kerajaan, namun berpandangan beberapa pindaan masih perlu diperhalusi sebelum dimuktamadkan.
Menurut beliau, pemisahan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan antara reformasi institusi yang penting bagi memperkukuh kebebasan sistem keadilan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi perundangan negara.
“Kita berharap proses ini dapat diteruskan. Apa yang kita faham, mungkin akan ada sedikit pindaan dan penambahbaikan khususnya berkaitan peranan Parlimen dalam rang undang-undang tersebut.
“Perkara ini wajar dipertimbangkan supaya mekanisme semak dan imbang menjadi lebih kukuh,” katanya kepada Rasuah Busters selepas mempengerusikan Mesyuarat KRPPM-IGAR di Parlimen, pada Isnin.
Sebelum ini, bacaan kali kedua RUU Perlembagaan (Pindaan) bagi memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Dewan Rakyat ditangguhkan selepas kerajaan mengeluarkan usul itu daripada agenda mesyuarat bagi membolehkan beberapa perkara dalam draf pindaan diperhalusi.
Azli berkata, agenda reformasi institusi negara perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berasaskan penelitian yang teliti, bukannya sekadar memenuhi komitmen politik.
Beliau menegaskan setiap rang undang-undang yang dibawa ke Parlimen perlu benar-benar mampu memperkukuh tadbir urus, meningkatkan ketelusan serta memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam perkembangan sama, Azli berkata Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (FOI) juga memerlukan penelitian lebih mendalam sebelum dibentangkan untuk kelulusan.
Katanya, hasil perbincangan bersama pertubuhan masyarakat sivil mendapati masih terdapat beberapa peruntukan yang perlu ditambah baik bagi memastikan objektif sebenar undang-undang itu dapat dicapai.
“Kita tidak mahu rang undang-undang ini diluluskan tetapi masih mengandungi kelemahan yang akhirnya menghalang matlamat asal untuk meningkatkan ketelusan dan akses rakyat kepada maklumat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya draf RUU tersebut dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan penelitian lebih menyeluruh dilakukan dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
Menurutnya, proses semakan yang lebih teliti akan membantu menghasilkan undang-undang yang lebih berkualiti, praktikal dan benar-benar memberi impak kepada negara.
Selain itu, Azli berkata, mesyuarat KRPPM-IGAR turut membincangkan beberapa cadangan reformasi pilihan raya yang perlu diberi perhatian menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Beliau berkata, hasil pemerhatian beberapa pertubuhan masyarakat sivil serta pengalaman sepanjang pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) menunjukkan masih terdapat ruang untuk menambah baik sistem pilihan raya negara.
Katanya, kelemahan sedia ada perlu ditangani lebih awal agar proses pilihan raya pada masa depan dapat berlangsung dengan lebih berkesan dan berintegriti.
Azli turut menjelaskan kekuatan KRPPM-IGAR terletak pada pendekatan rentas parti yang menghimpunkan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, senator serta pakar daripada masyarakat sivil bagi membincangkan agenda reformasi negara secara profesional.
Beliau berkata, pandangan pertubuhan masyarakat sivil amat penting kerana mereka membawa suara rakyat yang merasai sendiri kesan pelaksanaan sesuatu dasar.
“Kita berharap kumpulan rentas parti ini akan terus menjadi platform yang mampu memberikan input berkualiti kepada kerajaan.
“Apabila semua pihak duduk semeja meneliti sesuatu rang undang-undang secara bersama, kita bukan sahaja dapat menghasilkan reformasi institusi yang lebih mantap, malah memastikan setiap undang-undang yang diluluskan benar-benar memberi manfaat kepada negara dan rakyat.
“Reformasi institusi bukan sekadar memenuhi tuntutan semasa, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang bagi membina sebuah negara yang lebih telus, berintegriti dan berteraskan prinsip akauntabiliti,” katanya.