SHAH ALAM – Seramai 120,000 pelajar daripada 965 sekolah dan institusi pendidikan di Selangor bakal menikmati sarapan percuma mulai Ogos ini menerusi inisiatif baharu Kerajaan Negeri bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah.
Program yang melibatkan sekolah rendah, menengah, sekolah agama JAIS serta institusi berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor itu akan menyediakan sarapan kepada pelajar yang dikenal pasti sebanyak dua hingga tiga kali seminggu.
Menggunakan mekanisme hampir sama seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT), inisiatif itu bukan sahaja bertujuan memastikan kebajikan murid terus terpelihara, malah membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup yang semakin dirasai susulan krisis di Asia Barat.
Langkah berkenaan turut meletakkan Selangor sebaris dengan beberapa negara yang telah membuktikan keberkesanan program sarapan percuma dalam meningkatkan kehadiran ke sekolah serta mengurangkan keciciran pelajar.