Ketua Wanita Pakatan Harapan, Datuk Hjh Aiman Athirah Sabu mengajak Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi untuk berdebat secara terbuka bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan sepanjang kempen pilihan raya di Johor.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Aiman Athirah mendakwa kempen yang dijalankan oleh Onn Hafiz kini semakin menyimpang daripada perbahasan dasar apabila lebih banyak dipenuhi dengan fitnah serta sentimen yang bertujuan memburukkan Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, pendekatan tersebut tidak memberi manfaat kepada rakyat yang sewajarnya disajikan dengan fakta, dasar dan penyelesaian terhadap isu-isu semasa.
“Makin hari makin mengarut kempen Onn Hafiz ni. Kempen sehala tabur fitnah dan sentimen burukkan Kerajaan Perpaduan tak bagus la, akak ajak Onn Hafiz debat la, kita fakta bersemuka. Onn tak onn?” katanya menerusi hantaran tersebut.
Cabaran itu dilihat sebagai gesaan agar kedua-dua pihak tampil bersemuka dalam satu sesi debat terbuka supaya rakyat dapat menilai hujah, fakta dan dasar yang dibawa oleh setiap pihak secara adil.
Ini bukan kali pertama Onn Hafiz dicabar untuk berdebat. Sebelum ini, calon Pakatan Harapan bagi DUN Puteri Wangsa, turut mengajak Menteri Besar Johor itu menyertai sesi debat terbuka sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri Johor.
Bagaimanapun, sehingga kini ajakan tersebut tidak disambut oleh Onn Hafiz, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan mengenai kesediaan beliau mempertahankan dakwaan dan naratif kempen yang dibawa dalam forum terbuka berasaskan fakta.
Dengan cabaran terbaharu daripada Ketua Wanita Pakatan Harapan itu, tumpuan kini terarah kepada sama ada Onn Hafiz akan menerima pelawaan berdebat atau sekali lagi memilih untuk tidak menyahut cabaran tersebut.