SHAH ALAM, 8 Julai – Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof mendakwa Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, kini semakin bimbang dengan sokongan pengundi muda dan kumpulan Undi18 terhadap Pakatan Harapan (PH) sehingga mengaitkan kemungkinan berulangnya keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Azli berkata kebimbangan yang dizahirkan Onn Hafiz dalam perhimpunan bersama jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) itu tidak berasaskan fakta sejarah kerana pelaksanaan Undi18 hanya bermula pada 15 Disember 2021.
Menurut beliau, Undi18 pertama kali digunakan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac 2022 selepas pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik.
“Bagaimana mungkin kemenangan PH pada 2018 dikaitkan dengan Undi18 sedangkan sistem itu belum pun wujud ketika itu?” soal beliau.
Azli berkata kemenangan PH pada PRU14 dicapai ketika had umur mengundi masih 21 tahun, sekali gus menolak dakwaan bahawa faktor Undi18 menjadi penyumbang kepada perubahan politik pada tahun tersebut.
Beliau berpandangan kenyataan Onn Hafiz sebenarnya lebih menggambarkan kebimbangan terhadap realiti politik semasa. Menurutnya, Menteri Besar Johor itu sedar bahawa jumlah pengundi muda kini jauh lebih besar berbanding sebelum ini dan mereka mempunyai kuasa sebenar untuk menentukan keputusan pilihan raya.
Katanya, generasi muda hari ini tidak lagi mudah dipengaruhi dengan slogan atau retorik politik semata-mata. Sebaliknya, mereka lebih cenderung menilai prestasi kerajaan, meneliti fakta, membuat semakan daripada pelbagai sumber dan membuat pilihan berdasarkan isu-isu yang memberi kesan secara langsung kepada kehidupan seharian mereka.
Azli yang merupakan Pengerusi Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat Parti AMANAH Negara berkata antara perkara yang menjadi keutamaan golongan muda ialah peluang pekerjaan yang berkualiti, gaji yang lebih baik, kos sara hidup yang terkawal, penyediaan rumah mampu milik, sistem pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa, pengangkutan awam yang cekap serta kewujudan sebuah kerajaan yang telus dan berintegriti.
Sehubungan itu, beliau berpendapat sekiranya BN benar-benar bimbang terhadap kecenderungan pengundi muda, penyelesaiannya bukanlah dengan mengungkit sejarah atau menimbulkan kebimbangan dalam kalangan jentera pilihan raya.
Sebaliknya, kata beliau, BN perlu meyakinkan generasi muda bahawa parti itu mempunyai idea, dasar serta rekod pentadbiran yang lebih baik untuk menjamin masa depan Johor.
Timbalan Pengerusi Parti AMANAH Negara, Negeri Selangor itu turut menegaskan bahawa perubahan yang berlaku pada PRU14 bukan disebabkan Undi18, sebaliknya merupakan keputusan yang dibuat oleh rakyat Malaysia ketika itu.
Beliau menambah bahawa pada PRN Johor 2026 nanti, pengundi muda termasuk kumpulan Undi18 dijangka menjadi antara kelompok pengundi terbesar dalam sejarah negeri itu.
“Jika Onn Hafiz benar-benar mengingatkan jenteranya supaya berwaspada, mungkin beliau sendiri sedar bahawa gelombang perubahan itu sedang kembali bertiup,” katanya.