SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melancarkan Business Linkages and Advancement Programme (BLAST) bagi menghubungkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan pelabur utama, sekali gus memperkukuh rantaian bekalan serta meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pelaburan negeri.
EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, berkata program hasil kerjasama Invest Selangor Berhad dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) itu membuka ruang kepada PKS tempatan membekalkan produk serta perkhidmatan kepada syarikat multinasional dan syarikat tempatan yang telah melabur di Selangor.
Menurut beliau, BLAST diwujudkan dengan matlamat utama memperkasakan PKS melalui jaringan kerjasama strategik bersama pelabur utama.
“Kami telah mengenal pasti beberapa pelabur utama di Selangor yang akan menyokong PKS tempatan dengan menggunakan perkhidmatan atau membeli produk mereka,” katanya selepas majlis pelancaran BLAST di Hotel Concorde, hari ini.
Bagi fasa pertama pelaksanaan, BLAST membabitkan empat pelabur utama iaitu Bridge Data Centres, UMW Aerospace, Base Maintenance Malaysia dan Malaysia Rail Link (MRL), bersama 12 PKS tempatan.
Sze Han berkata syarikat-syarikat terbabit sedang melaksanakan pelbagai projek berskala besar di Selangor yang memerlukan pelbagai produk dan perkhidmatan, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada PKS untuk menyertai rantaian bekalan industri.
Beliau berkata program itu menyasarkan peningkatan hasil jualan PKS yang mengambil bahagian sebanyak lima peratus menjelang tahun 2030, selain akan diperluaskan ke fasa seterusnya dengan penyertaan lebih ramai pelabur dan syarikat tempatan.
Katanya, MTDC turut memainkan peranan membimbing PKS memenuhi piawaian antarabangsa agar mereka bukan sahaja mampu menjadi pembekal kepada pelabur utama dalam BLAST, malah berdaya saing untuk menembusi pasaran syarikat lain di dalam dan luar negara.
Sze Han menegaskan kejayaan menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit perlu diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada syarikat tempatan.
“Apa yang lebih penting ialah bagaimana pelaburan ini mampu membantu PKS tempatan memperoleh lebih banyak tempahan dan projek. Itulah hala tuju pelaburan yang ingin kita bangunkan di Selangor,” katanya.