--fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA
SHAH ALAM, 15 Julai – Kerajaan Negeri Selangor akan memperkukuh usaha menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar susulan insiden tikaman membabitkan seorang pelajar di Banting, Kuala Langat, baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan membentangkan laporan lengkap berhubung insiden tersebut pada Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dalam masa terdekat sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.
Menurut beliau, isu kesihatan mental perlu diberikan perhatian serius kerana berpotensi menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kejadian buli serta perlakuan jenayah di sekolah.
“Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ataupun JPN akan membentangkan laporan itu dalam MTES yang akan datang bagi membolehkan langkah-langkah susulan diambil supaya kita dapat menangani isu kesihatan mental yang turut menyumbang kepada masalah seperti buli dan tindakan jenayah yang tidak diingini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneliti kertas cadangan daripada JPN dan bersedia memberikan kerjasama melalui jaringan sedia ada bagi memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda, mengenai simptom serta kesan masalah kesihatan mental.
“Kita akan tunggu kertas sokongan daripada Jabatan Pendidikan dan kerajaan negeri sedia membantu dengan jaringan yang kita ada sebelum ini, khususnya untuk mempertingkatkan kesedaran penduduk termasuk anak-anak muda mengenai simptom dan kesan daripada isu kesihatan mental,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Ambulans Kita Selangor Fasa 2 dan Pengenalan Ikon Kesihatan Awam Negeri Selangor di Shah Alam, hari ini.