KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menepis tanggapan bahawa parti itu ketandusan pelapis apabila mempertaruhkan enam calon daripada sayap Pemuda termasuk seorang peguam muda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pencalonan Nur Hafiz Roslan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap membuktikan parti itu mempunyai barisan pemimpin muda yang berpotensi serta mampu menawarkan saingan kepada mana-mana calon lawan.
Katanya, pemilihan Nur Hafiz bukan dibuat secara sambil lewa, sebaliknya berdasarkan kelayakan, pengalaman serta penglibatan aktifnya dalam parti dan masyarakat.
“Kita mahu menunjukkan kepada pengundi Johor bahawa Amanah mempunyai pelapis yang berkualiti. Nur Hafiz bukan sahaja tokoh muda, malah seorang peguam yang berjaya dan aktivis pemuda parti yang berpotensi besar.
“Walaupun beliau mungkin berdepan calon yang mempunyai nama besar, bagi Amanah penentuan tetap berada di tangan rakyat, bukan berdasarkan kedudukan seseorang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Mujahid, lima lagi calon muda yang diketengahkan Amanah adalah pemimpin akar umbi yang aktif di kawasan masing-masing termasuk Ketua Pemuda Amanah Johor, Muhammad Taqiuddin yang akan bertanding di DUN Maharani.
Ujarnya, langkah itu sekali gus menafikan dakwaan bahawa Amanah tidak mempunyai pelapis atau tokoh muda yang boleh diketengahkan untuk memimpin pada masa depan.
Beliau berkata, senarai 19 calon Amanah pada PRN Johor turut menampilkan kepelbagaian latar belakang termasuk wanita, profesional dan tokoh masyarakat yang mencerminkan imej parti yang progresif serta inklusif.