Meskipun pilihan raya Negeri Johor yang diadakan awal 10 bulan dari tempoh akhir dibuat atas kehendak UMNO dan Barisan Nasional Johor sendiri, namun dapat diperhatikan bahawa BN mula hilang rentak dan berjalan tempang hari demi hari menuju pembuangan undi.
Keyakinan mereka yang membubarkan DUN Johor disaat semua sedang bercuti panjang, mula pudar sedikit demi sedikit apabila BN gagal menguruskan ahli dan jentera mereka bagi menggerakkan kemenangan semula persis pilihan raya tahun 2022. Puncanya hanya satu iaitu wujudnya beberapa kem dalam UMNO Johor yang membuat pelbagai permintaan dan desakan sehingga kepimpinan UMNO Johor gagal memberikan tumpuan kepada pengurusan dan persediaan parti menghadapi pilihan raya yang mereka sendiri mahukan.
Jelas disini apabila ‘Rumah Bangsa’ mula digagaskan dalam UMNO, fraksi yang pernah menggugat kestabilan dan kekuatan UMNO pasca PRU 2022 kembali mengganggu rentak keyakinan UMNO. Kelompok yang kembali semula ke dalam UMNO dari luaran memang mahu kembali berjuang atas nama bangsa, agama dan tanah air. Namun hakikatnya mereka telah mengganggu gugat keutuhan UMNO yang telah dibina oleh Dr Ahmad Zahid Hamidi sejak diberi layanan istimewa dalam kerajaan MADANI.

Perlahan demi perlahan kuasa Presiden UMNO yang mempunyai sumpah keramatnya sendiri sekian lama terhakis sejak percaturan politik di Johor berlaku. Lebih malang lagi, tindakan UMNO Negeri Sembilan yang tidak memihak kepada mereka telah memburukkan lagi imej UMNO dimata rakyat sekaligus meruntuhkan imej baik UMNO yang dibina beberapa tahun ini.
Paling terkini, Mantan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi menggunakan isu pembatalan Hari Peneroka Negeri Johor serta dakwaan larangan beliau masuk ke kawasan FELDA sebagai modal awal Onn bertempur dalam pilihan raya kali ini. Isu ini tidak disentuh langsung oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam ceramahnya di Johor kerana melihat isu itu adalah remeh dan kebudak-budakan. Masa yang amat bernilai seorang Perdana Menteri tidak perlu dibazirkan kepada isu yang tidak memberi sebarang nilai tambah kepada rakyat.
Maka serangan yang mulanya ditujukan kepada Pakatan Harapan tertembak kepada Presiden UMNO mereka sendiri. Memandangkan portflolio peneroka dan FELDA berada dibawah Dr Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri, maka Onn dengan sendirinya telah menyerang Pengerusi BN itu sendiri. Persediaan mereka dalam bermain perang persepsi dalam pertempuran kali ini amat rendah dan tidak mampu menguasai pentas permainan. Dengan sekali hembus sahaja, Dr Ahmad Zahid menafikan larangan itu telah membuatkan reputasi Onn jatuh dan kewibawaannya mula terjejas.

Seperti biasa Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal Saleh yang senantiasa menggunakan isu populis demi kepentingan politik beliau dan proksinya cuba mengalihkan tumpuan dengan menghadap larangan itu kepada Perdana Menteri. Namun sergahan isu tidak mendapat sambutan akibat ditenggelami isu kelewatan BN Johor mengumumkan calonnya untuk PRN kali ini. Pengumuman yang sepatutnya diumumkan pada pukul 2.30 petang 24 Jun 2026 tertangguh sekian lama sehingga jam 4.30 petang.
Berbagai-bagai spekulasi timbul dari kelewatan pengumuman itu. Ada yang menyatakan rundingan antara UMNO dan PAS sedang berjalan menyebabkan agihan kerusi dan pemilihan calon tertangguh. Ada juga yang mendakwa UMNO sedang merungkai beberapa nama yang bertindih akibat permintaan dari kem – kem yang wujud dalam UMNO Johor.
Menariknya, pengumuman kali ini tidak disertai oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan Setiausaha Agung BN. Sebaliknya yang paling kanan hadir adalah Presiden-Presiden parti komponen BN iaitu MCA dan PPP. Kelibat Dr Ahmad Zahid dan Mohamad Hassan selaku pemimpin utama BN tidak kelihatan. Ini memberikan satu tamparan hebat buat BN Johor pimpinan Onn Ghazi dan boleh ditafsirkan bahawa gerak kerja BN Johor kali ini tidak mendapat sokongan dan restu sepenuhnya dari Menara Dato Onn.

Kedua lebih menarik lagi apabila BN Johor tidak melaksanakan apa yang telah dinyatakan sebelum ini untuk meletakkan calon berwajah baru dan segar bagi memimpin Agenda Johor Maju. Sebaliknya, BN terpaksa membawa semula bekas Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba di Pasir Raja yang pernah diwakili sejak 2008 lagi. Malah beliau telah menjadi Ahli Parlimen di Johor sejak 2004. Kembalinya wajah lama dalam perang di Johor ini menunjukkan bahawa BN kekal dengan amalan politik dinosaur atau gaya lama. BN mahu mempertahankan gaya politik lama yang pernah ditolak rakyat pada 2018 dahulu dengan menyenaraikan calon-calon dikalangan mereka yang sudah pun mencapai usia golongan veteran politik.

Yang lebih penting adalah keangkuhan Onn sendiri yang secara tiba-tiba menyatakan ‘tiada kerajaan campuran bersama DAP di Johor’ memperlihatkan bahawa nafsu UMNO Johor yang mahu mendominasi kuasa dan politik seperti zaman kegemilangan BN dulu. Natijahnya, kehendak UMNO Johor ini akan ditolak mentah – mentah oleh rakyat Johor kerana pendirian UMNO Johor itu telah membuka peluang kepada amalan korupsi, salah guna kuasa dan penyakau yang sedang dibersihkan oleh Kerajaan MADANI.

Rakyat selesa dengan langkah Kerajaan Pakatan Harapan yang menutup sebarang ketirisan dalam pentadbiran semua peringkat kerana kesan baiknya dapat dinikmati oleh rakyat melalui subsidi yang diberikan, bantuan kewangan dan pelbagai peruntukan lain dari kerajaan. Mana mungkin rakyat Johor memilih untuk membuka ruang kepada amalan politik berkuasa mutlak yang boleh menghambat kestabilan, kemakmuran dan keharmonian yang dinikmati rakyat hari ini bawah MADANI.